PETALING JAYA – Hanya kerana berpindah ke rumah sendiri, pelakon Elisya Sandha kecewa apabila dilemparkan tuduhan bermasam muka dengan ibu mentuanya yang juga penerbit Sheila Rusly.
Menurut pemilik nama penuh Nur Elisya Sandha Hassan, 24, keputusannya untuk bersuara kerana ibu bapa mentuanya melahirkan rasa sedih dengan dakwaan tidak berasas tersebut.
“Saya bersuara sebab mereka (mentua) bertanya mengenai hal tersebut. Siapa yang tidak kecewa apabila dilemparkan tuduhan sebegitu.
“Pelik dengan perangai segelintir individu sebegitu. Apabila duduk di rumah mentua, tanya bila hendak pindah.
“Sudah pindah, tuduh bergaduh pula, ada sahaja yang tidak kena di mata mereka,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon drama Serpihan Sayang itu turut dinasihati suaminya, Uzair Haqimy agar tidak melayan komen-komen negatif netizen.
“Memang ada beritahu suami, saya tertekan dengan dakwaan tersebut tetapi dia pesan supaya jangan peduli dan fokus kepada kehidupan sendiri.
“Setiap orang mahukan kehidupan berkeluarga sendiri begitu juga saya.
“Apabila sudah mendirikan rumah tangga, pastilah mahu menetap di rumah sendiri dan berdikari, jadi dakwaan saya bergaduh dengan mentua itu tidak pernah wujud,” ujarnya.
Katanya, tuduhan sebegitu memberi kesan emosi terhadap ibu bapa mentuanya dan menganggap hal tersebut sebagai fitnah.
“Kalau diikutkan saya mahu biarkan sahaja apa orang nak cakap sebab kalau dilayan memang akan berlarutan.
“Namun, apabila nama ibu bapa mentua terkait, memang beri kesan emosi kepada mereka. Selepas berkahwin, mereka antara individu penting dalam hidup saya,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, Elisya bengang dengan tindakan segelintir pencipta kandungan digital dalam YouTube yang menulis tajuk berbaur fitnah dengan menuduh dia dan keluarga mentua bermusuhan.
Semuanya gara-gara dia yang sebelum ini tinggal bersama mentua selama 10 bulan dia memilih menetap di kediaman sendiri bersama suami dan anaknya, Bunga Elhaq.
Untuk info, Elisya berkahwin dengan Uzair yang merupakan anak sulung Sheila dan Jinggo pada 21 Ogos 2021.
Pasangan itu kemudian dikurniakan cahaya mata sulung, Bunga Elhaq yang dilahirkan pada 18 Jun 2022. – KOSMO! ONLINE