JOHOR BAHRU – Polis menafikan dakwaan Radja Band bahawa pihaknya menerima wang RM10,000 sebagai jaminan untuk melepaskan dua suspek yang didakwa membuat ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik dari Indonesia itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan melepas dan membebaskan dua suspek itu dengan jaminan adalah perkara biasa dalam siasatan pihaknya.
Beliau berkata, pihaknya tetap akan menyiasat dakwaan ahli kumpulan itu sekiranya benar wujud sebarang salah laku termasuk elemen salah guna wang seperti yang didakwa.
“Jamin polis bukan memberi wang kepada polis, saya dapat bercakap dengan Radja sebentar tadi dan dia mengucapkan terima kasih,”katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.
Menurut Kamarul Zaman, kes itu dianggap selesai setelah individu yang didakwa mengugut Radja didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi tadi.
Terdahulu, dalam sebuah video temuramah kumpulan itu bersama media, ahli kumpulan tersebut mendakwa dua suspek utama kes itu yang ditahan dilepaskan selepas membayar kepada jaminan polis sebanyak RM10,000.
Polis sebelum ini menahan dua lelaki di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada 12 Mac lalu bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah terhadap ahli kumpulan itu.
Lelaki tempatan berusia 37 tahun dan lelaki warga asing berusia 48 tahun itu ditahan selepas ahli kumpulan berkenaan membuat laporan pada hari sama.
Sebelum ini, Radja Band mendakwa menerima ancaman bunuh serta dilemparkan kata-kata kesat selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin pada 11 Mac lalu dipercayai berpunca akibat salah faham antara kumpulan tersebut dengan pihak penganjur. – KOSMO! ONLINE