MESKIPUN pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan banyak aktiviti tergendala, namun ia dilihat memberi rahmat buat beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai.
Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang terpaksa ditunda ke tahun depan kembali membuka ruang buat pasangan itu untuk melayakkan diri ke temasya sukan berprestij dunia tersebut.
Shevon berkata, walaupun Covid-19 menjejaskan latihan serta prestasi mereka, tetapi ia turut memberi peluang kepada gandingan No.12 dunia itu untuk mengejar slot ke pentas Olimpik.
“Menerusi penangguhan aksi kelayakan serta temasya Sukan Olimpik, ini adalah peluang kedua kami untuk melayakkan diri ke sana. Inilah yang kami tunggu-tunggu dan ia tidak boleh disia-siakan.
“Kami sudah ada program latihan merangkumi kecergasan, kekuatan serta pemulihan yang telah diatur oleh jurulatih bagi mengekalkan prestasi sepanjang situasi wabak ini,” ujar Shevon.
Pada masa sama, pemain berusia 27 tahun itu menegaskan, sasaran mereka bukan sekadar layak ke Sukan Olimpik tetapi turut memasang impian untuk berada dalam kelompok lima terbaik dunia.
“Selain menjadikan Sukan Olimpik sebagai sasaran utama, kami berharap dapat menghuni senarai ranking lima terbaik dunia. Sudah tentu ia bukan tugas mudah kerana memerlukan kerja keras.
“Saya tahu ia terlalu tinggi tetapi dalam sukan, anda perlu meletakkan sasaran sebegitu bagi memastikan anda sentiasa memberikan yang terbaik untuk mencapainya,” jelasnya.