LIVERPOOL – Para penyokong Liverpool melahirkan rasa kecewa dan marah selepas keputusan pihak pengurusan kelab itu menaikkan harga tiket perlawanan untuk kali pertama dalam tempoh sembilan tahun bermula musim depan.
Mereka berpendapat bahawa situasi itu tidak sepatutnya berlaku ketika 7,000 lagi tempat duduk bakal tersedia apabila proses menaik taraf Anfield Road Stand dijangka siap dan boleh digunakan musim depan sekali gus menambah pendapatan kelab.
The Reds mengumumkan kenaikan harga tiket itu sebanyak dua peratus selepas memutuskan untuk mengikuti keputusan yang telah dibuat oleh Arsenal dan Manchester United yang menaikkan harga sehingga lima peratus.
Menurut kenyataan kelab itu, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan kos operasi yang menyaksikan mereka meraih keuntungan sebelum cukai yang agak rendah iaitu sekitar £7.5 juta (RM40.8 juta).
Keputusan berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat Liverpool yang merancang untuk melakukan bantahan.
Persatuan Penyokong LFC mengakui bahawa mereka menentang segala usaha untuk meningkatkan harga tiket perlawanan selain percaya tidak mampu menghalang rancangan para peminat pasukan itu yang akan melakukan protes.
“Rancangan untuk meningkatkan harga tiket ketika rakyat dan peminat berdepan krisis peningkatan kos seharian adalah sangat kejam, tidak adil serta tidak masuk akal.
“Kenaikan harga ini juga dibuat ketika LFC melaporkan rekod perolehan dengan peningkatan dari segi penajaan dan hadiah kemenangan.
“Sokongan kepada pasukan bola sepak berteraskan kesetiaan. Penyokong tidak boleh menukar kelab yang mereka sukai dengan mudah, tetapi situasi ketika ini menyaksikan poket mereka berdepan ‘penderaan’,” menurut kenyataan yang dikeluarkan persatuan berkenaan.
– AGENSI