fbpx

Kerja banyak sampai lupa nak kahwin – Asmidar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN aktif menyanyi, kesibukan kerja Asmidar terisi dengan tanggungjawab sebagai pensyarah di ASWARA.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Asmidar mengakui kadang-kala timbul perasaan untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki keluarga sendiri seiring dengan peningkatan usianya yang kini mencecah 37 tahun.

Bagaimanapun, Asmidar atau nama lengkapnya Norhasmidar Ahmad terpaksa akur apabila masih belum bertemu jodoh selain terikat dengan komitmen kerja yang banyak sebagai penyanyi dan juga pensyarah.

Asmidar ketika ditemui Kosmo! Online berkata, sebagai seorang wanita, memang terdetik dalam hatinya untuk membina sebuah keluarga dan memiliki cahaya mata memandangkan usianya hampir menjengah 40 tahun tidak lama lagi.

“Sebagai seorang wanita yang semakin meningkat usia, memang saya tak nafikan ada perasaan untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata.

“Tapi jodoh belum sampai lagi. Kerja pun semakin banyak sampai terlupa nak fikir tentang kahwin,” katanya berseloroh.

Ketika disoal tentang teman istimewa yang mungkin disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa, bekas naib juara Bintang RTM 2001 itu memberitahu dirinya masih lagi berstatus solo tanpa kehadiran lelaki yang dianggap istimewa.

“Kawan-kawan ramai. Cuma yang betul-betul istimewa (teman lelaki) belum ada lagi. Saya lebih fokus pada kerja dan perniagaan. Saya pun masih lagi mengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Tahun ini pelajar saya ada dua persembahan besar yang akan dijayakan. Jadi bertambahlah lagi kerja,” katanya.

Menyentuh tentang aktiviti ketika bulan puasa tidak lama lagi, seperti biasa Asmidar akan kembali sibuk ‘turun padang’ membantu keluarganya berniaga martabak di bazar Ramadan.

Bagaimanapun, jika sebelum ini keluarganya mampu menjual martabak ayam dan daging antara 20 kilogram (kg) hingga 30kg sehari, namun tahun ini mereka akan mengecilkan jumlah jualan kerana faktor kudrat yang agak terbatas.

“Tahun ini seperti biasa saya akan membantu ibu dan ayah berniaga di bazar Ramadan Wangsa Maju. Cuma jualan tidaklah sebanyak seperti sebelum ini kerana ibu dan ayah sudah berusia, tak berapa larat sangat nak meniaga.

“Mereka masing-masing sudah berusia lebih 50-an. Mereka masih lagi mahu berniaga sebab dah biasa. Bukan sebab untuk mencari pendapatan menyara saya dan adik-beradik,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya, Janji Happy di Mimpi Kita, Bangsar di sini, hari ini.

Tambah Asmidar lagi, setiap kali menjelang Ramadan, dia akan mengurangkan aktiviti seni untuk membantu kedua orang tuanya di bazar Ramadan kerana timbul rasa bersalah jika tidak menolong mereka sewaktu bulan puasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI