fbpx

Sindiket guna Toyota Vellfire angkut rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan tempat menyimpan rokok di dalam sebuah Vellfire pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Mengangkut barang kontraban menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire yang diubah suai untuk membawa rokok putih dan kretek yang diseludup.

Taktik yang digunakan sindiket sejak sebulan lalu itu bagaimanapun terbongkar apabila tiga lelaki termasuk lelaki warga asing ditahan dalam dua serbuan pukul 10 pagi di Taman Johor di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 207 kotak besar berisi pelbagai jenis rokok seludup dari negara jiran bernilai lebih RM1.5 juta.

“Dalam serbuan pertama, seramai tiga individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 42 hingga 58 tahun ditahan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 81 kotak rokok jenama U2 dan 55 kotak rokok jenama NYX Menthol selain Toyota Vellfire yang diubah suai dan Perodua Myvi,” katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, serbuan kedua dilakukan pada pukul 10.30 pagi di Jalan Sri Pantai, taman berkenaan dan merampas 62 kotak rokok jenama U2 serta dua kotak rokok jenis Re King.

Nilai rampasan rokok seludup bagi dua serbuan itu adalah RM1,555,848 dengan jumlah keseluruhan RM1.7 juta termasuk kenderaan.

Katanya, rampasan rokok putih dan rokok kretek tersebut merupakan yang di negeri ini setakat ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 mana lebih besar.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI