fbpx

Gambar, idea cantik, Adam Driver pacu 65

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINERGI antara dua watak utama Mills dan Koa tidak mengecewakan, namun ada ruang yang boleh diperbaiki.

SUDAH lama menantikan atau membayangkan pelakon berkaliber, Adam Driver terlibat dalam sebuah filem sains fiksyen lain daripada lain. Akhirnya impian tersebut dijelmakan aktor itu menerusi filem terbaharunya, 65.

‘Gambar’, idea cantik serta lakonan Adam tidak pernah mengecewakan dan itu termasuk dalam filem berkenaan.

Bayangkan 65 juta tahun dahulu, wujud planet bernama Somaris. Seorang juruterbang yakin bahawa dia perlu mengembara ke angkasa lepas demi mencari penawar penyakit dihadapi anaknya. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke planet asal, kapal dinaikinya terhempas di planet bernama Bumi.

Di situlah konflik bermula. Lelaki bernama Mills itu bertemu dengan seorang kanak-kanak perempuan bisu bernama Koa. Itu sedikit sebanyak sinopsis tentang filem 65 dan selebihnya harus diamati sendiri di panggung wayang.

Penulis sangat mengagumi bakat lakonan Adam. Dia antara pelakon lelaki paling hebat di dunia, namun sejujurnya, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang filem terbaharunya.

Naratif tidak kemas diadun pengarah terlibat iaitu Scott Beck dan Bryan Woods. Ibaratnya idea sudah ada dan ‘terletak’, namun pelaksanaannya tidak digarap dengan kemas dan saksama.

Seni, terjemahan karakter

Adam adalah Kylo Ren milik semua orang disebabkan kehebatannya membawakan karakter itu dalam francais Star Wars. Maka semestinya ramai teruja melihat pelakon itu muncul dalam sebuah lagi filem sains fiksyen.

Bukan hanya itu, ada makhluk-makhluk lain seperti dinosaur dan teknologi-teknologi moden planet Somaris, namun malangnya, tidak tahulah sama ada pembikin filem terlalu memasang angan-angan tinggi atau bagaimana, rasa seperti ada banyak perkara yang tidak perlu dalam 65.

Sementara itu, sinergi lakonan antara dua watak utama iaitu Adam dan pelakon cilik, Ariana Greenblatt tidak terlalu menonjol.

Tidak tahu apa pendapat orang lain, namun duduk di bangku penulis dapat merasakan kesulitan Ariana membawakan watak Koa.

Adam seorang pelakon yang mempunyai metode seninya tersendiri. Untuk digandingkan bersama Ariana dalam keseluruhan filem memerlukan usaha atau seni yang berhati-hati. Bagaimanapun, percubaan atau debut yang baik daripada Ariana.

Pelakon baharu

Pun begitu, pujian harus diberikan kerana produksi berani mengetengahkan bakat-bakat baharu yang kurang lazim di telinga seperti Ariana dan dua pemain lain iaitu Chloe Coleman dan Nika King.

Nika yang terkenal menerusi siri Euporia dibazirkan penampilannya dalam 65. Sejujurnya, dia layak diberikan lebih banyak ‘screentime’.

Pun begitu, satu perkara yang tidak boleh disangkal adalah sinematografi cantik dan kesan khas (CGI) juga tidak mengecewakan.

Secara keseluruhan, 65 sebuah karya tinggi ambisi yang masih wajar menjadi pilihan tontonan. Kalau rindu Adam Driver bermain dalam filem sains fiksyen yang sedikit lain acuannya, maka inilah filem tepat untuk anda tonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI