KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) serius untuk meraih pingat emas Sukan Asia di Hangzhou, China pada September depan apabila mendapatkan khidmat pakar pukulan sudut penalti dari Australia, Chris Ciriello.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kehadiran Ciriello, 38, bukan sahaja mampu menajamkan penyudah pukulan sudut penalti Speedy Tigers tetapi turut menjalinkan kerjasama erat dengan Australia.
“Hari ini nak maklumkan kita bawa Ciriello untuk membantu menajamkan lagi pukulan sudut penalti. Dia akan berkerjasama dengan bekas pakar pukulan sudut penalti kita, Amin Rahim dan jurulatih yang lain.
“Kehadirannya juga memudahkan kita berurusan dengan Australia kerana kita kerap menghantar pasukan berlatih di sana berbanding Eropah sebab murah,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Buki Jalil hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ciriello teruja untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya bagi memastikan sentuhan penyudah barisan pemain negara lebih tajam apabila beraksi di peringkat antarabangsa.
“Mereka ada potensi yang besar. Cumanya skuad memerlukan sekurang-kurangnya tiga pakar sudut penalti. Saya lihat skuad negara bagus tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki lagi prestasi mereka,” jelasnya.
Kebolehannya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana beliau pernah membantu Australia muncul juara Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda selain meraih pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012.
Sebagai rekod, Ciriello yang pernah meledak 116 gol daripada 199 penampilan bersama Kookaburras, pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih merangkap jurulatih analisis India dari 2018 hingga 2021. – KOSMO! ONLINE