KOTA BHARU – Kerajaan menambah baik Modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) bagi taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bermula tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan modul itu melibatkan seramai 250,000 kanak-kanak di seluruh negara termasuk pengambilan baharu.
Menurutnya, modul tersebut memberi penekanan dan tumpuan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah dan pengajian al- Quran.
“Modul PPI merupakan nilai tambah kepada kurikulum Pendidikan Islam sedia ada yang merangkumi penyusunan semula kandungan modul keseluruhan, pengaplikasian kaedah pembelajaran yang bersifat kontemporari dan berkonsep didik hibur.
“Selain itu, penambahbaikan itu juga dilakukan berdasarkan penyesuaian kandungan kuantiti surah al-Quran, pemerkasaan kualiti dan kompetensi tenaga pengajar dengan siri latihan kemahiran,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra Bersama Kakitangan Kemas Kelantan di Auditorium Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri (JKKN) Kelantan di Tanjong Chat di sini hari ini.
Katanya, Kemas juga akan melaksanakan pendekatan lain sekiranya terdapat kanak-kanak yang bukan beragama Islam.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan komunikasi digital sebagai modul baharu kepada pemaju dan pendidik masyarakat di Kemas. – KOSMO! ONLINE