fbpx

Kemas kini maklumat peribadi STR sebelum 31 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (duduk, tengah) beramah mesra bersama pelanggan yang menjalankan urusan di LHDN Kelantan di Kota Bharu hari ini. Foto oleh MUSTAQIM MOHAMED/ KOSMO!

KOTA BHARU – Kementerian Kewangan memohon penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mengemas kini maklumat peribadi mereka bagi melancarkan pembayaran fasa kedua sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah tersebut perlu dilakukan berikutan data-data yang dikumpulkan sebelum ini sudah lama dan terdapat penerima sudah bertukar status.

Menurutnya, penerima-penerima STR boleh membuat permohonan dan mengemaskini maklumat masing-masing bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Mac depan.

“Pembayaran STR dilaksanakan sebanyak empat kali iaitu fasa pertama bermula 17 Januari, fasa kedua sebelum Hari Raya Aidilfitri, fasa ketiga pada Julai manakala fasa keempat pada November depan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, pemohon STR secara manual dan dalam talian di Kelantan setakat ini adalah seramai 806,024 orang dan daripada jumlah itu, sebanyak 587,160 permohonan sudah diluluskan dengan bayaran keseluruhan RM519,638,850.

“STR kali ini melibatkan peruntukan terbesar yang pernah diberikan iaitu RM8 bilion kepada sembilan juta rakyat. Ia akan memberi manfaat kepada golongan B40 di bawah LHDN selaku agensi pelaksana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM600 kepada isi rumah miskin tegar menerusi data e-Kasih, Pejabat Persekutuan Negeri atau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Menurutnya, sumbangan tambahan itu diberikan dalam bentuk bakul makanan dan baucar barangan makanan asas bernilai RM100 bagi tempoh enam bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI