fbpx

Bayi Orang Asli demam panas naik helikopter ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamisa membawa anaknya, Masariani menaiki helikopter untuk ke Hospital Gua Musang semalam. - IHSAN UNIT UDARA JBPM

GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang bayi Orang Asli yang demam panas dari Pos Simpor untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang di sini, petang semalam.

Mangsa, Masariani Rosli yang berusia lapan bulan dilaporkan lemah dan tidak bermaya akibat demam panas sejak dua hari lalu.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said berkata, penerbangan itu berlepas dari Kerteh, Terengganu pada pukul 2.15 petang.

Katanya, penerbangan menggunakan helikopter Agusta Westland 139 selamat mendarat di Pos Simpor pada pukul 3.20 petang.

“Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memohon helikopter untuk membawa pesakit yang sakit sejak dua hari lalu.

“Apabila sampai bayi berkenaan bersama ibunya, Hamisa Ohsin, 23, sudah bersedia untuk menaiki helikopter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Akmaluddin berkata, helikopter mendarat dengan selamat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang di sini kira-kira pukul 3.48 petang.

Katanya, bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Gua Musang dengan menggunakan ambulans dan dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

“Penerbangan berkenaan membabitkan empat kru diketuai oleh Timbalan Penguasa Bomba II Sharizal Sahari.

“Pesawat berlepas pulang dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang ke Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang dan selamat mendarat pada pukul 4.44 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI