fbpx

Nusuk platform mudahkan perancangan umrah dalam BM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelantar digital Nusuk oleh Pihak Berkuasa Arab Saudi ini turut boleh diakses dalam bahasa Melayu.

UMRAH merupakan ibadah yang dilakukan oleh umat Islam dengan kemampuan kewangan dan boleh dilaksanakan sepanjang tahun.

Setiap umat Islam di seluruh dunia mempunyai keinginan untuk melaksanakan ibadah umrah tidak kurang sekali seumur hidup.

Di Malaysia terutamanya, terdapat banyak agensi menawarkan pakej umrah yang boleh dipilih mengikut kemampuan jemaah.

Dalam membawa jemaah bagi melaksanakan umrah pula, terdapat banyak prosedur yang perlu dilakukan bagi memastikan perjalanan untuk melaksanakan ibadah tersebut lancar.

Bagi memudahkan urusan perancangan jemaah umrah, Pihak Berkuasa Pelancongan Arab Saudi atau lebih dikenali dengan Saudi Tourism Authority (STA) baru-baru ini melancarkan pelantar digital bersepadu umrah yang dikenali sebagai Nusuk.

Nusuk merupakan pelantar digital bersepadu rasmi Saudi pertama dan menawarkan laluan perancangan yang mudah digunakan kepada semua jemaah umrah atau pelawat untuk perjalanan mereka ke Mekah dan Madinah serta lokasi lain.

Menurut Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, Nusuk merupakan satu inisiatif yang dilancarkan oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Arab Saudi dengan kerjasama Program Pengalaman Jemaah Umrah Wawasan 2030.

DR. TAWFIQ

Katanya, Nusuk akan meluaskan lagi pilihan dan meningkatkan keseluruhan pengalaman umat Islam yang melawat Saudi serta meringkaskan prosedur ketibaan bagi pengunjung yang datang untuk mengerjakan umrah.

“Kini kami membuka semula pintu untuk menyambut ketibaan kumpulan jemaah umrah yang paling besar dari seluruh dunia ke Saudi selepas pandemik.

“Kami tidak sabar untuk memberikan pengalaman penempahan yang lancar dan menyeluruh, dengan pilihan perjalanan yang diperluaskan akan membawa mereka menempuh kembara keimanan melalui beberapa tarikan dan tawaran yang bercirikan Islam di antara Mekah dan Madinah, seterusnya merasai saat yang menakjubkan dan mengenali Saudi yang kaya dengan budaya dan warisan,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya lagi, dengan Nusuk, pelawat dari seluruh dunia boleh mengatur keseluruhan lawatan mereka dengan mudah daripada permohonan e-visa sehingga penempahan hotel dan penerbangan.

Jelasnya, pada masa akan datang, Nusuk juga akan digunakan untuk menjadualkan lawatan ke tempat-tempat penting, mencari pengangkutan, menyusun jadual perjalanan dan peta interaktif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif serta Ahli Lembaga Pengarah Pihak berkuasa Pelancongan Arab Saudi serta Pengarah Urusan Nusuk, Fahd Hamidaddin berkata, pihaknya komited untuk menjadikan Saudi sebuah negara yang mudah dikunjungi oleh semua pelawat.

“Untuk jemaah umrah, kami telah melancarkan pelantar digital Nusuk yang direka bentuk untuk jemaah umrah dan pelawat merancang perjalanan ibadah mereka dengan lancar.

“Jemaah umrah dari Malaysia boleh memohon e-visa pada pelantar Nusuk dan boleh menempah pakej khas ke Mekah, Madinah dan tempat-tempat lain,” ujarnya.

Platform ini membolehkan orang ramai membuat perancangan umrah dan ziarah dengan lebih lancar.

Tambahnya, pihaknya juga bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menggalakkan jemaah umrah menjelajah negara Saudi yang indah dan merasai pengalaman yang pelbagai dengan program umrah.

“Saudi mengalu-alukan seluruh dunia untuk melawat destinasi baharu yang paling berkembang pesat dan sempadan pelancongan percutian yang belum diterokai.

“Ia memberi peluang perniagaan baharu yang tiada bandingan untuk rakan kongsi yang mahu menawarkan pengalaman memikat hati, jiwa dan impian para pelancong ke Saudi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Nusuk-APAC, Alhasan Aldabbagh berkata, pihaknya sentiasa melakukan inovasi yang berterusan.

Pelancaran pelantar Nusuk dalam bahasa Melayu misalnya membuktikan ketangkasan pihaknya dalam memenuhi keperluan pasaran.

“Kami berharap untuk menyambut lebih ramai pengunjung dari Malaysia berbanding sebelum ini. Nusuk akan memudahkan dan melancarkan perancangan serta penempahan perjalanan jemaah umrah, seterusnya menggalakkan para jemaah umrah untuk mengenali Saudi selain daripada sebagai tempat ibadah.

“Malaysia merupakan pasaran strategik utama bagi Saudi.

“Saudi kini mengukuhkan lagi hubungan dengan rakan kongsi serta komited untuk melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk memastikan pengalaman yang bersesuaian serta menarik bagi pasaran Malaysia,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI