ISU keselamatan berkaitan dengan operasi kilang Lynas di Gebeng, Pahang sekali lagi menjadi isu perdebatan apabila tiba masanya untuk lesen operasi Lynas hendak diperbaharui.
Perkara ini bukan pertama kali sebaliknya berlaku setiap kali bila tiba masanya untuk lesen operasi Lynas hendak diperbaharui.
Maka, tidak hairanlah perkara ini berulang lagi pada tahun ini kerana pada bulan ini, lesen operasi Lynas tamat dan ia mesti diperbaharui.
Apa yang menarik kali ini ialah perdebatan ini menjadi lebih hangat selepas pengumuman syarat lesen oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.
Perkara ini dirasakan agak janggal kerana kebiasaannya pembaharuan lesen operasi kilang yang terletak di bawah kawalan pihak Jabatan Tenaga Atom (JTA) itu hanya perlu dilakukan secara dalam talian.
Bila dikupas perdebatan kali ini rata-rata ia berpusat kepada persoalan pelupusan sisa WLP (water leach purification) yang dikategorikan sebagai radioaktif.
Beberapa pihak anti-Lynas berpendapat WLP yang telah terkumpul banyak di kilang Lynas di Gebeng adalah sangat berbahaya dan mesti dihantar balik ke Australia. Jika tidak, Lynas mesti menghentikan operasinya.
Sebaliknya, Menteri MOSTI telah mengumumkan bahawa lesen operasi kilang Lynas disambung selama tiga tahun lagi bermula 3 Mac 2023 dengan syarat ia menghentikan proses Cracking and Leaching (C&L) kerana C&L menghasilkan WLP yang dianggap radioaktif.
Malah, beliau dilaporkan dalam platform media sosialnya, mempertimbangkan satu pilihan, untuk membenarkan C&L jika WLP boleh dibawa keluar dari Malaysia.
Kajian pencirian yang dilakukan ke atas WLP mendapati bahawa ia adalah bahan radioaktif yang dikategorikan oleh JTA dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebagai radioaktif aras sangat rendah.
Secara relatif keradioaktifan WLP adalah setara dengan keradioaktifan yang terdapat pada sesetengah batu fosfat (rock phosphate) yang diimport Malaysia untuk membuat baja.
Keradioaktifan WLP sekitar 6 Bq/g Th ini adalah jauh lebih rendah berbanding monazit daripada tahi bijih (amang) Malaysia yang keradioaktifannya mencecah 300 Bq/g Th.
Skel minyak (petroleum scale) juga mempunyai keradioaktifan sekitar 27 Bq/g Ra-226.
Kadar radiasi daripada WLP mengikut beberapa laporan dari agensi antarabangsa seperti IAEA, pemantauan berterusan AELB dan beberapa pihak ketiga seperti universiti awam tempatan, kadarnya adalah amat rendah dan tidak melebihi paras piawai yang telah ditetapkan.
Bacaan dos awam dari Lynas tidak melebihi 0.2 mSv/tahun berbanding dengan piawai had awam adalah 1 mSv setahun.
Menurut laporan dari Lynas, ia telah melakukan kajian menggunakan WLP untuk membangunkan CondiSoil, sejenis perapi tanah untuk tanah gersang.
Kajian yang memakan masa hampir lima tahun itu melibatkan perbelanjaan berjuta ringgit dengan kelulusan dan pemantauan pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JTA yang dilakukan oleh penyelidik
Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta makmal yang diakreditasi seperti SIRIM telah mengesahkan WLP selamat digunakan sebagai perapi tanah.
Malah, mesyuarat wakil JAS, AELB, MARDI, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Pertanian bersama Ketua Setiausaha Negara pada 18 Februari 2019 memutuskan tiada halangan untuk CondiSoil digunakan sebagai perapi tanah.
Kesimpulannya, WLP adalah punca fosfat setara dengan yang diperolehi daripada batu fosfat yang digunakan dalam pembuatan baja. Batu fosfat juga mengandungi bahan radioaktif yang setara dengan WLP.
Apa yang kurang difahami dan mengejutkan ialah pada tahun 2020, pihak JTA/MESTECC (sekarang dikenali sebagai MOSTI) telah mengarah Lynas memberhentikan semua aktiviti penyelidikan melibatkan WLP sebagai perapi tanah.
Arahan ini terkandung di dalam syarat lesen operasi Lynas bagi tahun 2020-2023.
Keputusan MESTECC ini memeranjatkan dunia penyelidikan kerana MESTECC yang diharapkan menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan, malah mencadangkan kajian WLP diperluaskan, bukan diberhentikan.
Hanya melalui penyelidikan hasil inovasi dapat diperoleh bukan sahaja untuk menggunakan WLP secara selamat tetapi juga mengurangkan penghasilan dan penstoran WLP.
Sebaliknya MESTECC pada masa itu mengarah pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (Permanent Disposal Facility) untuk melupuskan WLP.
MESTECC yang sepatutnya menunjang prinsip from cradle to cradle untuk mengurus sisa industri telah memilih pendekatan from cradle to grave yang agak asing dari konsep circular economy.
Banyak kali kita mendengar cadangan dan desakan, malah ada yang berupa arahan agar WLP yang dijana di kilang Lynas mesti dihantar balik ke Australia sebab bahan mentah kilang Lynas berasal dari Australia.
Pendekatan ini sama seperti mengarah negara kita menerima sisa industri pemprosesan bauksit di China kerana bauksit itu berasal dari bumi Malaysia.
Apakah wajar kita mendesak kerajaan menghantar enap cemar dan skel minyak yang radioaktif, hasil penapisan minyak mentah import di negara kita balik ke negara pembekal? Apakah kita mahu menerima sisa pemprosesan getah asli yang dibuat di luar negara dihantar balik ke Malaysia kerana Malaysia adalah pembekal susu getah?
Pemindahan sisa industri dari yang menjananya ke negara lain perlu mengikut konvensyen antarabangsa (misalnya Basel Convention dan protocol IAEA) di mana kedua-dua negara pengeksport dan penerima bersetuju.
Kaedah ini sangat tidak digalakkan, malah tidak bertanggungjawab. Negara yang menjana sisa mestilah mencari jalan menguruskannya sebaik mungkin.