LONDON – Leicester City berjaya merakam kemenangan pertama dalam tempoh 47 tahun beraksi di laman keramat Arsenal selepas menewaskan kelab itu 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Bintang sensasi Leicester, Jamie Vardy yang dimasukkan dalam separuh masa kedua kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan, masih mampu muncul wira The Foxes apabila menanduk masuk gol kemenangan pasukan pada minit ke-80.
Lebih menarik, ia adalah gol ke-11 Vardy ke atas The Gunners sepanjang kedua-dua pasukan bertemu dalam kancah EPL.
“Kami terpaksa bertahan menahan asakan Arsenal sepanjang perlawanan ini. Namun, taktikal kami menjadi apabila berjaya melakukan satu serangan balas pantas untuk menghukum kealpaan barisan pertahanan mereka.
“Kemenangan ini amat penting buat kami selepas meraih beberapa keputusan negatif sebelum ini. Saya lega walaupun masih tidak cergas tetapi masih boleh memberi impak buat Leicester,” kata Vardy yang terlepas dua perlawanan EPL sebelum ini kerana masalah kecederaan betis.
Kemenangan itu melonjakkan Leicester ke tangga keempat dengan 12 mata dan kembali ke landasan kemenangan selepas tewas dua perlawanan terdahulu kepada Aston Villa dan West Ham United.
Ia secara tidak langsung meningkatkan motivasi anak-anak buah Brendan Rodgers itu yang akan bertandang ke Athens, Greece menentang AEK Athens untuk aksi Kumpulan G Liga Europa pada Jumaat ini. – AGENSI