fbpx

Malaysia, Jepun meterai kerjasama penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (duduk kiri) bersama Takahashi pada majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia antara kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negeri Jepun di Hotel Pullman. - Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Jepun memeterai memorandum kerjasama (MoC) berhubung penubuhan Kampus Cawangan Universiti Tsukuba yang pertama di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia bakal melakar sejarah tersendiri kerana ia adalah kampus cawangan universiti Jepun yang pertama ditubuhkan di luar negara berkenaan.

Katanya, pemilihan Malaysia sebagai lokasi penubuhan kampus cawangan universiti awam Jepun pertama di dunia merupakan satu pengiktirafan kepada pengurusan pendidikan tinggi negara dan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Jepun.

“Penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia akan memberi peluang dan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk datang dan melanjutkan pelajaran di Malaysia.

“Selain itu, penubuhan kampus cawangan ini juga dilihat sebagai tanda penghargaan Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Jepun dan kesinambungan terhadap Dasar Pandang ke Timur yang sudah mencecah 40 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoC tersebut di Hotel Pullman, di sini hari ini.

Turut hadir, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, cadangan penubuhan sebuah kampus cawangan institusi pendidikan tinggi Jepun di Malaysia telah diutarakan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 2018.

“Kerajaan Jepun telah menyambut baik cadangan tersebut dan seterusnya mencadangkan supaya kampus cawangan Universiti Tsukuba ditubuhkan di Malaysia.

“Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada tahun 1872 merupakan salah satu daripada 86 buah universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI