fbpx

Aktor Hong Kong beri amaran Michelle Yeoh rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJAYAAN Michelle Yeoh di pentas Oscar membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

PELAKON kelahiran Hong Kong, Chapman To memberi peringatan kepada kerajaan wilayah tersebut agar tidak mendabik dada dengan kejayaan diraih pelakon, Tan Sri Michelle Yeoh yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Oscar.

Tegas Chapman atau nama sebenarnya, Edward Ng Cheuk-cheung, Michelle adalah rakyat Malaysia.

“Peringatan mesra buat kerajaan Hong Kong, Yao Zi (Michelle Yeoh) ialah rakyat Malaysia.

“Jangan ambil kesempatan dan mendakwa beliau rakyat Hong Kong,” coretnya menerusi satu hantaran Facebook, semalam.

Hantaran Facebook tersebut dikongsikan apabila sekitar Januari lalu, Setiausaha Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Hong Kong, Kevin Yeung mengucapkan tahniah kepada Michelle Yeoh atas kemenangannya di Golden Globe Awards dengan menyifatkan pelakon berasal dari Ipoh itu sebagai ‘pelakon Hong Kong’.

Susulan kenyataan Kevin tersebut, ramai netizen Malaysia berasa kurang senang dengan perihal itu dan mula berkongsi latar belakang kehidupan skrikandi seni negara yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Sekadar info, Michelle dilahirkan di Ipoh Perak pada 1962 yang waktu itu Malaysia dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 1988, beliau berkahwin dengan usahawan kaya-raya Hong Kong bernama Dickson Poon namun bercerai empat tahun kemudian.

Semalam, Michelle, 61, mencatat sejarah sebagai anak Malaysia pertama yang menang trofi Oscar di Academy Awards ke-95.

Michelle atau nama sebenarnya, Yeoh Choo Kheng, diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan mantapnya sebagai Evelyn Quan Wang dalam filem Everything Everywhere All at Once.

“Saya nak mendedikasikan trofi ini buat ibu saya. Beliau sedang menonton sekarang di Kuala Lumpur, Malaysia bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Saya sayang anda semua. Saya akan bawa trofi ini ke rumah,” katanya dalam nada sebak ketika memberi ucapan.

Kemenangan Michelle tersebut sekali gus menewaskan pesaing lain seperti pelakon hebat wanita lain iaitu Cate Blanchett, Andrea Riseborough, Ana De Armas dan Michelle Williams.

Academy Awards ke-95 berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, California, Amerika Syarikat dan diacarakan oleh hos, Jimmy Kimmel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI