KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 tuduhan menerima rasuah bernilai RM12,500 antara Disember 2019 sehingga Mac tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Izzham Halim, 36, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan selelasai dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman didakwa menerima rasuah daripada seorang individu.
Suapan itu diterima sebagai dorongan untuk tertuduh menyalurkan maklumat pergerakan operasi Bahagian Narkotik IPD Kemaman sepanjang tempoh berkenaan.
Mohd. Izzham didakwa menerima suapan antara RM50 sehingga RM3,200 bagi setiap transaksi antara 26 Disember 2019 sehingga 10 Mac 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md. Nasir. – KOSMO! ONLINE