KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya kerajaan negeri menubuhkan satu unit khas iaitu Lembaga Pelancongan Perlis bagi melonjakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu.
Titah baginda, badan khas tersebut dilihat mampu menggerakkan pembangunan sektor pelancongan negeri kepada tahap lebih baik.
“Negeri ini tidak mempunyai badan khas yang menguruskan hal ehwal pelancongan, malah semua inisiatif atau penggerak sektor itu dibuat secara kolaboratif antara jabatan atau agensi bersama orang awam.
“Landskap Perlis adalah satu anugerah yang tidak terhingga dikurniakan Allah kepada kita dan dengan kelebihan ini
menjadikan Perlis satu negeri yang mempunyai tarikan semula jadi tersendiri,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian bagi mewakili Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersempena Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN negeri di sini hari ini.
Baginda bertitah, sektor pelancongan berfungsi sebagai ejen perubahan terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial negeri. – KOSMO! ONLINE