SHAH ALAM – Jenayah samun awal pagi dilakukan Geng Rantau yang didalangi warga Indonesia sejak November lalu dengan menggunakan aplikasi e-hailing akhirnya berakhir selepas menahan lima suspek di sebuah flat sekitar Sungai Besi, baru-baru ini.
Kesemua mereka termasuk seorang wanita berusia 29 hingga 49 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 8.20 pagi pada 6 Mac lalu yang maa dipercayai baharu enam jam melakukan jenayah di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah menggunakan aplikasi grab ke lokasi sasaran sebelum pulang menggunakan kenderaan lain termasuk milik rakan mereka.
Katanya, mereka menyasarkan rumah-rumah yang tidak berpagar selain keselamatan lain yang kurang seperti pintu dan tingkap mudah diumpil.
“Kumpulan suspek ini yang bersenjatakan parang dan kerambit kemudiannya akan mengikat mangsa menggunakan kabel pengecas telefon bimbit atau tali.
“Mereka menyamun dalam tempoh 20 hingga 30 minit dengan mengambil barang kemas dan berharga lain.Namun, tiada kecederaan dialami mangsa ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Menurut beliau, samun kumpulan ini mengerunkan dan mengusarkan masyarakat dengan mendatangkan trauma kepada mangsa yang dikejutkan semasa waktu awal pagi meskipun kerugian hanya RM55,000.
Tambah beliau, berdasarkan soal siasat mendapati kumpulan suspek mengakui terlibat dalam tujuh kes.
Ini melibatkan empat kes daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, IPD Kajang (2 kes) dan satu dari daerah Seremban, Negeri Sembilan.
“Mereka ini umpama ‘shopping’ dalam menyamun dari rumah ke rumah lain dengan cepat dengan menyasarkan satu-satu kawasan.
“Kesemua suspek dari Indonesia ini telah memasuki negara ini sejak tiga atau empat bulan lalu disyaki secara tidak sah dengan semakan mereka mendapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.
Jelas beliau, peranan suspek wanita adalah melupuskan barangan kes seperti mengadaikannya di premis pajak gadai.
“Ujian air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis syabu.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan menuduh tiga suspek mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan. Selain itu, kesemua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) dan 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE