PETALING JAYA – Padah memiliki dadah jenis syabu seberat 0.12 gram dua lelaki warga tempatan ditahan dalam serbuan di kawasan Serendah, Hulu Selangor, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 42 tahun itu ditahan hasil serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di sebuah rumah di Seri Alamanda kira-kira pukul 8.10 malam.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai dan merampas satu paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan angaran berat 0.12 gram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya, hasil saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
“Hasil semakan pihak polis juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.
Katanya, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Kuala Kubu Bharu hari ini dan kes disiasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Suffian juga memohon dan menggesa orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah, jenayah serta sebarang aktiviti yang mencurigakan untuk tampil atau menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah, balai-balai berdekatan atau di aplikasi Facebook Polis Daerah Hulu Selangor. – KOSMO! ONLINE