PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa segala perincian dalam Belanjawan 2023 disemak dengan teliti.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, semakan itu dibuat bagi memastikan tahap penyampaian yang terbaik serta permasalahan rakyat dapat disikapi dengan cekap dan adil.
“Langkah ini penting ini bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat serta golongan masyarakat yang disasarkan Kerajaan,” katanya di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, Belanjawan 2023 yang diumumkan pada 24 Februari memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Ia menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.
Dalam hantaran sama, Anwar memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.
“Saya duduk makan tengah hari tadi dengan Ahli-ahli Parlimen Keadilan sambil bicara ringkas mengenai peri penting memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen yang berkesan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE