fbpx

Trofi Oscar hadiah hari lahir ibu Michelle Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANET bersama 200 tetamu meraikan kemenangan Michelle Yeoh menerusi siaran langsung Oscar pagi tadi dalam sebuah acara khas.

PETALING JAYA – “Saya sayangkan anda semua dan saya akan bawa pulang (trofi Oscar) ini ke rumah.”

Demikian janji Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi Ke-95, Tan Sri Michelle Yeoh ketika berucap di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat, pada acara berprestij Anugerah Akademi, hari ini.

Anak kelahiran Ipoh itu mengenepikan empat pencabar lain termasuk pesaing terdekat, Cate Blanchett, apabila diumumkan sebagai pemenang menerusi wataknya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Dalam ucapannya, Michelle dengan nada teruja turut memaklumkan keluarga serta rakannya di Malaysia sedang mengikuti majlis yang disiarkan secara langsung tersebut.

Detik bersejarah tersebut disaksikan ibunya, Datin Janet Yeoh, 84, pada acara khas yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, pagi tadi yang turut disertai sekitar 200 tetamu.

Sementara itu, Janet berkata, pencapaian diraih anaknya adalah hasil kerja keras selama lebih empat dekad memperjuangkan bakat sekali gus menjadi hadiah paling istimewa buatnya.

“Michelle seorang yang kuat berusaha. Saya anggap kejayaan sebagai Pelakon Wanita Terbaik adalah hadiah bermakna sempena ulang tahun kelahiran saya bulan depan.

“Beliau ada merancang pulang ke Malaysia untuk meraikan bersama saya nanti. Saya tidak sabar menanti kepulangannya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong perjuangan kerjaya seninya selama ini,” katanya.

Michelle juga tidak berlengah berkongsi kegembiraan dengan wanita terpenting dalam hidupnya apabila menghubungi Janet menerusi panggilan video sejurus menerima trofi.

Momen penuh emosi tersebut dikongsikan wartawan Channel News Asia (CNA) dalam Twitter memaparkan Michelle bercakap dengan ibunya sambil menunjukkan trofi bersalut emas 24 karat yang diraih.

Begitupun, mutu audio kurang sempurna hingga tidak jelas perbualan yang cuba dikongsikan pelakon tersebut.

Terdahulu, aktres berusia 61 tahun itu memenangi Anugerah Golden Globe serta Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi, awal tahun ini.

Beliau bukan saja mencatat sejarah sebagai anak tempatan pertama yang dicalonkan dan memenangi Oscar, malah menjadi bintang Asia pertama raih trofi kategori utama dalam anugerah berprestij tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI