ALOR GAJAH – Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berjalan kaki di Jalan Ayer Molek- Paya Lebar di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Kamarudin Md. Jali, 62, yang bekerja di sebuah kilang ayam dipercayai sedang berjalan kaki ke hentian bas berhampiran, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara dari arah Paya Lebar- Lubok China ke Kuala Sungai Baru telah terbabas ke bahu jalan.
“Ketika melalui kawasan berselekoh, kereta tersebut telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan. Kereta dipandu lelaki berusia 57 tahun itu tidak sempat mengelak mangsa dan telah merempuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE