PETALING JAYA – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi pada paras sekitar RM4,000 per tan pada Mac dan April ini, disokong permintaan kukuh menjelang Aidilfitri, ditambah sekatan eksport Indonesia yang dilaksanakan sehingga akhir April.
Maybank Investment Bank dalam nota kajian yang diterbitkan semalam berkata, simpanan stok Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menurun tujuh peratus bulan ke bulan pada Februari lalu kepada 2.12 juta tan, namun masih 39 peratus lebih tinggi tahun ke tahun.
“Pengeluaran merosot sembilan peratus bulan ke bulan, selari dengan bilangan hari yang lebih rendah pada Februari, tetapi 10 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu.
“Eksport kekal kukuh pada 1.11 juta tan, penurunan dua peratus bulan ke bulan, mungkin sekali dibantu sekatan eksport lebih ketat oleh kerajaan Indonesia.
“Sementara itu, penggunaan domestik lebih tinggi pada 0.34 juta tan (naik tujuh peratus bulan ke bulan, 57 peratus tahun ke tahun) dipacu permintaan kukuh menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 22 April, iaitu 11 hari lebih awal berbanding tahun lalu,” katanya.
Firma itu mengekalkan pandangannya bahawa harga MSM akan menurun pada pertengahan tahun, dengan jangkaan pemulihan pengeluaran bermusim.
Tambahnya, kemungkinan berlakunya El Nino pada Julai hingga Disember tahun ini tidak mengganggu prospek pengeluaran di rantau ini, sekiranya fenomena tersebut berlaku pada tahap rendah hingga sederhana.
“Pencapaian 2023 lebih bergantung kepada sama ada syarikat perladangan mempunyai jumlah pekerja yang mencukupi dan telah melakukan pembajaan secukupnya,” ujarnya.
Maybank Investment Bank mengunjurkan purata harga MSM pada RM3,400 untuk tahun ini.