KOTA TINGGI – Seorang peneroka Felda maut selepas kereta Perodua Myvi dipandu terlibat kemalangan dengan Toyota Vios dan lori pasir di laluan selepas Lembaga Getah Malaysia, Jalan Kota Tinggi-Mawai, pagi tadi.
Mangsa, Sadiran Kario, 72, menetap di Felda Simpang Waha difahamkan ketika kejadian dalam perjalanan menuju ke klinik di bandar Kota Tinggi bersama isterinya Sarinam Jalil, 71.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BPP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melalui talian Mers999 pada pukul 11.06 pagi.
“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan dimana sepasang suami isteri yang menaiki Perodua Myvi telah tersepit di dalam kenderaan tersebut.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan pemandu yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE