RINDU dengan genre muzik nasyid asli, tiga anak muda bergabung bagi mengembalikan trend asal dengan muzik asli menggunakan gendang dan kompang.
Zawfan yang dianggotai oleh Hafiz Tarmizi, Yasir Tarmizi dan Fadzil Radzi mula mengorak langkah menerusi media sosial sekitar 2020 dengan tanda pagar #RinduNasyid.
Percubaan mereka merakam lagu-lagu nasyid nostalgia secara iringan perkusi mendapat sambutan menggalakkan daripada pengikut laman sosial.
Muncul dengan single pertama berjudul Rasul Kita, Hafiz selaku pengasas Zawfan berkata, berbekalkan lirik yang jelas dan muzik ringkas menjadikan lagu tersebut dapat memberi kesan dan menyentuh hati pendengar.
“Sebenarnya ramai yang rindukan nasyid gendang dan kompang kerana itulah genre nasyid yang asli.
“Kami bermula ketika zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akibat lama duduk di rumah jadi muncul idea untuk menyanyi lagu-lagu nasyid lama secara accapella.
“Selepas mendapat sambutan baik daripada pengikut laman sosial, kami ambil keputusan lancarkan single Rasul Kita bagi mengubati kerinduan peminat lagu-lagu nasyid lama,” ujarnya.
Matlamat
Mengambil inspirasi lagu kumpulan Raihan berjudul 25 Rasul, sambung Hafiz, Rasul Kita merupakan melodi baharu yang lebih segar dan mudah diterima pendengar.
Katanya, lagu tersebut yang sudah tersedia dalam platform digital dan saluran YouTube Zawfan Official bukan sahaja menarik minat kanak-kanak untuk belajar, malah untuk golongan dewasa juga.
“Inspirasi daripada lagu 25 Rasul, namun ada kesinambungan untuk menjadikannya lebih segar.
“Muzik ini sudah lama kita tak dengar, kami cuba kembalikan nasyid ala Raihan seperti zaman dahulu dengan lirik asuhan yang diharap dapat memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, ditanya tentang pemilihan genre sebegini yang sedikit ‘ke belakang’, jelasnya, muzik sebegini sebenarnya lebih mudah diterima masyarakat.
Sejarah membuktikan Raihan berjaya membawa nasyid kompang dan gendang sehingga ke seluruh dunia.
“Kami mahu kembali ke akar nasyid dan percaya melodi seperti ini boleh mekar seperti tahun 1990-an dahulu.
“Lagi pula kami lihat carta-carta nasyid sekarang kebanyakannya dah jadi muzik pop. Kami rasa perlu ada kebangkitan semula format yang kita rindu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hafiz yang juga vokalis kumpulan Mirwana menjelaskan nama Zawfan tidak mempunyai sebarang maksud tertentu sebaliknya hanya kata nama.
Menurutnya, nama itu merupakan tajuk salah satu lagu Mirwana yang dicipta komposer Yasin Sulaiman.
“Zawfan tiada makna tertentu dalam bahasa Arab. Nama ini sebenarnya sebuah lokasi fiksyen dalam lagu Mirwana yang dicipta Yasin.
“Menurut lagu itu, Zawfan digambarkan tempat tertegaknya Islam. Kami juga meletakkan maksud-maksud sendiri menerusi kata nama itu,” jelasnya.
Masih ahli Mirwana
Merungkai persoalan tentang statusnya selaku ahli kumpulan itu, Dalam pada itu, Hafiz menjelaskan dia masih lagi bersama Mirwana meskipun kini menggerakkan Zawfan bersama Yasir dan juga Fadzil.
Katanya, Zawfan hanya projek istimewa yang dirancang ketika PKP lalu.
“Saya masih dengan Mirwana. Sementara Zawfan pula hanya projek lain yang berbeza genre. Ahli kumpulan Mirwana lain tiada masalah kerana mereka juga ada kumpulan projek lain.
“Malah kami di Mirwana masing-masing sentiasa bagi sokongan dan bantuan kepada projek-projek kawan-kawan lain,” tutupnya.