LONDON – Pengurus Fulham, Marco Silva mengkritik pasukannya kerana terlalu ‘beri muka’ kepada Arsenal sehingga mengalami kekalahan 0-3 pada aksi di Craven Cottage, kelmarin.
Walaupun berjaya tampil dengan aksi lebih berani di separuh masa kedua, Silva masih kecewa selepas para pemainnya gagal menghasilkan sebarang gol untuk menyaingi jaringan dilakukan The Gunners di babak pertama.
“Jelas sekali Arsenal lebih berhak untuk dapatkan tiga mata. Ketika separuh masa pertama, kami seakan tiada dalam padang, terlalu beri muka, tidak cukup berani dan membiarkan pasukan lawan bermain mengikut cara mereka.
“Kami hanya melakukan kerja 50 peratus. Jadi, jika kami bermain seperti ini ketika menentang mana-mana kelab di Liga Perdana Inggeris, sudah pasti kami akan dihukum dan inilah yang sedang berlaku dan perlu kami atasinya,” katanya.
Pada perlawanan ini, kesemua gol Arsenal dijaringkan oleh Gabriel, Gabriel Martinelli dan Martin Odegaard.
Bagaimanapun, Silva enggan memuji kualiti yang dimiliki The Gunners kerana menganggap ketiga-tiga gol terhasil adalah kerana kelemahan barisan pertahanan.
“Tiga jaringan yang baik? Kredit perlu diberikan kepada Arsenal kerana mereka layak dapat tiga mata, tetapi kesemua gol itu adalah kerana kesalahan kami sendiri,” jelasnya. – AGENSI