LONDON – Jentera serangan Arsenal berjaya mengambil kesempatan ke atas aksi goyah dipamerkan benteng pertahanan Fulham untuk mencatat kemenangan 3-0 kelmarin sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris.
Pada aksi di Craven Cottage itu, Arsenal kembali memiliki kelebihan lima mata di puncak liga berbanding pencabar utama, Manchester City menerusi kemenangan berkenaan sehingga barisan pemain pasukan itu mendapat pujian daripada pengurusnya, Mikel Arteta.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal menjadi pasukan pertama dalam sejarah bola sepak England yang berjaya meraih lima kemenangan berturut-turut bagi aksi derbi London di gelanggang lawan tanpa melepaskan sebarang jaringan dan meledak 11 gol bagi kesemua aksi.
“Saya seronok melihat 11 pemain yang sangat komited mempamerkan aksi bertahan dengan baik. Ia menjadi suatu yang sangat penting sekiranya kami mahu terus mencatat kemenangan.
“Beraksi di Craven Cottage sentiasa memberikan cabaran hebat, Fulham adalah pasukan yang sangat tersusun dan saya fikir kami berjaya mendominasi perlawanan, mencipta peluang dan mempertahankan gawang daripada bolos. Saya gembira kami berjaya melakukannya,” katanya.
Pada aksi berkenaan, Arsenal tidak berdepan kesukaran apabila berjaya meraih tiga gol pada babak pertama menerusi Gabriel Magalhaes, Gabriel Martinelli dan Martin Odegaard dan hampir mencatat gol keempat menerusi Antony Robinson, namun dibatalkan ekoran kedudukan ofsaid.
Pemain yang baharu dibeli The Gunners, Leandro Trossard terus membuktikan kemampuannya apabila melakukan umpanan gol untuk ketiga-tiga jaringan yang diperoleh pasukan itu pada perlawanan berkenaan. – AGENSI