fbpx

China didakwa tembak laser ke Hawaii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cahaya laser hijau dipercayai dari satelit Daqi-1 dirakam pada kamera penstriman langsung di Hawaii. - Twitter/@SubaruTel_Eng

HONOLULU, HAWAII – China didakwa menggunakan sejenis laser hijau yang dipancarkan daripada sebuah satelit bagi mengumpul maklumat risikan bertujuan untuk melancarkan peluru berpandu hipersonik ke atas Hawaii di Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar The Sun kelmarin.

Amaran itu dikeluarkan selepas rakaman kamera penstriman langsung yang dipasang pada teleskop di atas gunung di salah sebuah pulau di Hawaii menunjukkan satelit China itu memancarkan laser.

Pada awalnya, cahaya itu disangka dipancarkan oleh satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), namun akhirnya disahkan berasal daripada satelit pemantauan pencemaran milik China, Daqi-1.

Persoalan yang muncul adalah mengapa Beijing berhasrat untuk memantau pencemaran di Hawaii yang mempunyai pangkalan besar tentera AS.

Pearl Harbour yang terletak di Hawaii kekal menjadi lokasi penting untuk tentera AS di mana ia menempatkan Armada Pasifik AS dan Armada Pasifik Tentera Udara.

Serangan tentera Jepun ke atas pangkalan tersebut pada 7 Disember 1941 menjadi pencetus kepada AS untuk menyertai Perang Dunia Kedua.

Kini, pakar-pakar memberi amaran bahawa aktiviti Beijing itu boleh membuka jalan kepada serangan mengejut seperti yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua.

Pakar ketenteraan China daripada Pusat Penilaian dan Strategi Antarabangsa, Rick Fisher berkata, satelit tersebut adalah kes klasik bagi penggunakan dwifungsi teknologi awam China yang turut mempunyai misi ketenteraan.

“Laser Daqi-1 secara khusus memantau ketumpatan atmosfera dan boleh mengesan arah angin yang berbeza.

“Ini merupakan data yang diperlukan oleh Beijing untuk menyasarkan dengan tepat peluru berpandu balistik atau peluru berpandu hipersonik terkini,” katanya.

Fisher selain itu bersetuju bahawa Hawaii berisiko berdepan serangan mengejut dengan kali ini, oleh Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).

“Memang terdapat ancaman yang semakin meningkat dari China ke atas Hawaii tetapi sekiranya perang Taiwan berlaku, PLA mungkin akan menyasarkan fasiliti tentera AS di Jepun, Korea Selatan, Alaska dan California,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI