PUTRAJAYA – Perkembangan terkini jangkitan Covid-19 dalam negara dan jangka masa melaksanakan tugas-tugas di lapangan menjadi antara topik perbincangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam mesyuarat Perbincangan Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.
Mendedahkan dalam sidang akhbar di Kementerian Kesihatan hari ini, Noor Hisham berkata, beliau diperkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah, semalam bagi membentangkan situasi terkini Covid-19 dalam negara.
Beliau berkata, perjalanan petugas di Kementerian Kesihatan dari bulan Disember tahun lalu hingga gelombang ketiga Covid-19 hari ini turut dikongsikan dalam perbincangan tersebut.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan kes harian akan merekodkan angka empat digit selepas 31 Oktober berdasarkan nilai kebolehjangkitan atau R naught (R0) semasa iaitu 1.5.
“Sewaktu permulaan gelombang ketiga, negara bermula dengan nilai R0 2.2 namun, dapat diturunkan kepada 1.5 antara lain menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
“Kalau ikut unjuran ini, kita mungkin akan dapat kes empat digit setiap hari selepas 31 Oktober dan inilah kebimbangan kita, namun pertambahan aktiviti kesihatan di lapangan dapat menurunkan nilai R0 daripada 1.5 kepada 1 kelak,” katanya.
Noor Hisham berkata, KKM menjangkakan tempoh antara tiga hingga empat minggu untuk melihat hasil perkembangan aktiviti kesihatan di lapangan yang dilaksanakan secara agresif khususnya di Sabah ketika ini.
“Kalau dilihat di Pantai Timur Sabah, mungkin ada sedikit bukti-bukti kejayaan mengekang penularan Covid-19.
“Tumpuan KKM kini di Pantai Barat Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan kawasan lain yang perlu diberi perhatian selain di kawasan penjara,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, beliau turut ditanya mengenai jangka masa perolehan bekalan vaksin Covid-19 dalam Perbincangan Raja-Raja Melayu, semalam.
Katanya, KKM masih belum mendapatkan laporan lengkap daripada sembilan ujian klinikal fasa tiga yang diuji oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa itu.
“Usaha-usaha terus dijalankan oleh KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk melihat kepada perkembangan dan perolehan bekalan vaksin Covid-19,” katanya. – K! ONLINE