PETALING JAYA – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang baharu, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang telah memenangi jawatan itu dalam pemilihan yang berlangsung sejak Sabtu lalu.
Meskipun tewas merebut jawatan tersebut, Khaidirah atau lebih mesra dipanggil Dira itu juga turut merakam ucapan sama kepada Naib Ketua Puteri UMNO, Siti Sokhleha dan barisan EXCO Puteri UMNO untuk penggal 2023 hingga 2026.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim itu, dengan kepimpinan baharu Pergerakan Puteri UMNO, banyak yang perlu dilakukan dalam mengembalikan sokongan orang muda kepada parti serta membawa agenda wanita muda dan meletakkan sayap ini berada pada tahap lebih tinggi.
“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh perwakilan khususnya para perwakilan yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa sinar baharu Puteri. Kalian menjadi denyut nadi Puteri untuk saya terus berkhidmat.
“Perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara akan sentiasa diteruskan dalam segenap ruang yang ada, Insya-Allah,” katanya di laman Facebook, hari ini.
Terdahulu, Dira turut menawarkan diri sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO untuk sesi 2023 hingga 2026.
Selain Nurul Amal, empat lagi calon turut menawarkan diri merebut jawatan tersebut sebelum ini iaitu penyandang Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin, Masliha Harun, Fadwah Anuwar dan Nurul Hazwani Haslan.- KOSMO! ONLINE