PETALING JAYA – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan seperjuangan serta penyokong yang telah memberi kepercayaan kepadanya dalam UMNO.
Beliau yang mesra dipanggil Yana kini memegang jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO berkata, beliau bangga menjadi sebahagian daripada komuniti yang menghargai semangat perjuangan.
Jelas beliau, dengan jawatan tersebut ia akan memberi motivasi dan tekad kepadanya untuk terus bekerja dengan lebih keras dan komited.
“Alhamdulillah, kempen Yana berjalan lancar dengan sokongan yang kukuh, dan kepercayaan yang dikongsikan oleh anda semua.
“Yana menerima segala nasihat dan kongsian dengan hati yang terbuka, terutamanya kepada kakak yang menjawab WhatsApp Yana lewat malam dan sentiasa beri sokongan supaya Yana terus melangkah ke hadapan.
“Yana dengan ikhlas mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat Puteri UMNO, ahli keluarga rakan-rakan, sukarelawan, dan pasukan kempen yang bekerja tanpa henti untuk memastikan kejayaan kita,” katanya di laman Facebook hari ini.
Tambah Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai itu, banyak yang perlu dilaksanakan sekiranya Puteri UMNO ingin memainkan peranan untuk mengembalikan sokongan anak muda kepada parti.
Katanya, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen dan usaha tersebut perlu dilaksanakan bermula sekarang.
“Insya-Allah Yana tidak akan mengecewakan anda, dan Yana akan sentiasa bersama anda. Puteri perlukan segala idea dan bakat adik-adik Puteri.
“Mari kita bekerja bersama untuk membina masa depan yang lebih baik untuk parti tersayang kita,” tulisnya.- KOSMO! ONLINE