PETALING JAYA – Pelakon Kilafairy sanggup menawarkan ganjaran besar berupa wang tunai sebanyak RM2,000 kepada sesiapa yang terambil kucing peliharaannya bernama Kojivu atau Kovu selepas 15 hari haiwan itu tidak pulang ke rumah.
Kila atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 31, menerusi hantaran Instagram memaklumkan, kucing berwarna kelabu baka kacukan British Shorthair dan R. Blue yang berusia 10 tahun itu hilang sejak 27 Februari lalu di kawasan Subang Jaya.
Selain ganjaran, pelakon itu juga sanggup membelikan seekor kucing kelabu lain untuk mereka yang mengambil haiwan itu sebagai ganti Kovu.
“Kepada yang mengambil anak saya, tolong pulangkan dia kembali.
“Kalau awak nak kucing berwarna kelabu, saya boleh belikan seekor untuk awak. Tapi tolong sangat-sangat, pulangkan kembali Kovu saya,” rayunya.
Pelakon drama Tumpang Lalu Bang itu juga pada masa sama, memohon bantuan pengikut media sosialnya untuk menghubungi nombor yang dikongsikan sekiranya ternampak kucing kelabu seperti Kovu.
“Kalian, tolong periksa sekeliling, kucing jiran anda dan hubungi nombor tertera kalau ternampak kucing kelabu ataupun Kojivu.
“Dia sudah hilang sejak 27 Februari lalu, sekitar pukul 9 pagi di kawasan Subang Jaya,” tulisnya.
Turut simpati dengan situasi menimpa pelakon itu, netizen yang rata-ratanya pencinta haiwan comel berkenaan memberikan tip kepada Kila untuk mendapatkan semula kucing peliharaannya itu.
Antara tip yang sering dilakukan dan dipercayai sangat berkesan, mereka menyuruh Kila bercakap dengan kucing jalanan dan meminta Kovu pulang ke rumah.
“Kila, kalau awak ronda sekeliling kawasan dan jumpa kucing yang lain, cakap pada kucing itu minta Kovu balik rumah.
“Nanti kucing-kucing itu akan tolong beritahu pada Kovu kalau jumpa di mana-mana,” kongsi seorang pengikutnya. – KOSMO! ONLINE