fbpx

UMNO nekad keluar dari ‘parti kampung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Zahid melambai kepada penyokong dan ahli UMNO ketika berangkat pulang dari majlis pengenalan calon-calon di MITC, Melaka. - FOTO SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu parti itu keluar daripada kepompong konvensional dan mengetepikan cara lama yang dianggap tidak sesuai untuk mengembalikan kekuatan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Perdana Menteri berkata, seluruh kepemimpinan peringkat akar umbi hingga ke Pusat termasuk tiga sayap perlu menggunakan kaedah pendigitalan.

“Kita tidak mahu lagi menjadi parti kampung dan kita tidak mahu menjadi johan di gelanggang kita sahaja tetapi mesti jadi johan dan relevan di peringkat nasional serta kembali diterima rakyat dari seluruh lapisan masyarakat.

“Justeru, UMNO mesti mengambil pendekatan baharu dengan menambat hati golongan muda untuk
bersama-sama parti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon-calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid menegaskan, ahli UMNO perlu mengetepikan kepentingan peribadi supaya parti kembali menjadi relevan kepada rakyat.

Beliau berkata, ini kerana walaupun UMNO menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, namun ia tidak dapat diterjemahkan dalam PRU15.

Tegasnya, perbezaan pandangan yang berlaku sepanjang tempoh pemilihan parti harus diketepikan selepas 18 Mac ini.

“Ingat bahawa kita sentiasa diuji Allah. Kita harus berusaha dan berikhtiar. Semua sayap parti (Wanita, Pemuda dan Puteri) mesti bersama kita (MKT).

“Kita satukan fikrah kita, kita satukan hati nurani kita, kita buang semua kelemahan kita dan kita bina semula kekuatan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI