SEREMBAN – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di kawasan parkir berhadapan sebuah pasar raya di Seremban 2, di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban 2, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.31 malam.
“Laporan awal diperoleh terdapat seorang mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 43 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri berada dalam keadaan rebah di kerusi pemandu hadapan dalam kenderaan tersebut yang berkunci dengan enjin masih berfungsi.
“Tindakan kami adalah dengan membuka kereta berkenaan dan anggota bomba yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) mengangkat mangsa keluar.
“Petugas Kementerian Kesihatan kemudian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia. Mangsa dipercayai sudah berada lebih dua hari di dalam kereta itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam ini.
Jelas beliau, pihaknya telah menyerahkan mayat kepada pihak Kementerian Kesihatan dan pihak polis untuk siasatan dan tindan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 9.05 malam. – KOSMO! ONLINE