fbpx

Fasha Sandha ke malam anugerah, berkaca mata hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fasha muncul di karpet merah Tonton Anugerah Drama Sangat yang berlangsung di PICC, hari ini.

PUTRAJAYA – Meskipun mengalami kecederaan pada bahagian mata, pelakon Fasha Sandha membuktikan dirinya seorang pelaku seni yang sangat komited apabila muncul dalam acara Tonton Anugerah Drama Sangat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Fasha menuai perhatian apabila hadir dengan memakai kaca mata hitam ditemani adik perempuannya yang juga pelakon Elisya Sandha.

Aktres itu ketika ditemui Kosmo! Online memberitahu, kecederaan mata kiri yang dialaminya sudah beransur pulih namun tetap perlu menjalani pembedahan untuk rawatan susulan.

“Dari luaran bengkak semakin okey tetapi dalaman masih sakit kerana tulang patah dan ada darah beku.

“Mungkin kena jalani pembedahan tetapi tunggu masa sesuai. Sebelum ini tak boleh lakukan pembedahan sebab perlu tunggu bengkak surut,” kata pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu.

Pertama kali membuat kemunculan umum selepas insiden di lokasi penggambaran, bintang filem Anak Halal mengakui masih kurang selesa dan penglibatannya kabur susulan kecederaan.

“Memang tak selesa. Mata boleh nampak tetapi penglihatan tak begitu jelas.

“Sakit mata ini akan berkait dengan kepala. Memang sakit kepala,” ujarnya.

Ditanya tentang penggambaran yang masih berbaki, semuanya tergantung mengikut nasihat doktor.

“Saya perlu dapatkan keizinan daripada doktor sama ada boleh meneruskan penggambaran atau tidak,” katanya lagi.

Menerusi Anugerah Drama Sangat, Fasha tercalon dalam dua kategori iaitu Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Antagonis Terbaik.

Kosmo! pada 2 Mac lalu melaporkan Fasha mengalami kecederaan pada mata kirinya selepas terhentak pada bucu katil sewaktu menjalani penggambaran drama berjudul Anak Tuan arahan Along Kamaludin.

Disebabkan kemalangan tersebut, Fasha, 39, mengalami patah tulang bahagian mata kiri selain pendarahan bebola mata dan terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital pakar di Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI