fbpx

Pemandu lori dicekup tak habis isi minyak diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa pejabat KPDN Pulau Pinang menumpaskan kegiatan menyeludup diesel bersubsidi menggunakan sebuah lori di Bukit Mertajam semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam menerusi Ops Tiris semalam.

Pengarah pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri, S. Jegan berkata, serbuan yang dilakukan empat anggota penguat kuasa kira-kira pukul 7 malam itu dijalankan hasil risikan sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, ketika serbuan, pemandu lori terbabit yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia lewat 30-an didapati sedang mengisi minyak bersubsidi diesel ke dalam tangki asal kenderaan terbabit.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas lori berkenaan mendapati terdapat dua unit nozel ‘dispencer’ diesel telah dimasukkan ke dalam tangki asal bagi proses pengisian.

“Pemeriksaan seterusnya di bahagian belakang lori yang ditutupi kanvas pula menemui satu unit tangki fiber tambahan yang diubah suai dan disyaki mengandungi bahan api bersubsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, pasukan serbuan turut menjumpai satu unit pam motosikal dan hos dalam lori tersebut yang digunakan untuk menyedut minyak diesel daripada tangki asal.

Jelasnya, siasatan lanjut di tempat kejadian pula mendapati, lelaki tersebut didapati telah membuat pembelian bahan api bersubsidi diesel secara tunai kepada stesen minyak tersebut.

“Modus operandinya adalah dengan membeli bahan api bersubsidi diesel di beberapa buah stesen minyak dalam negeri ini sebelum dikumpul di suatu tempat penyimpanan sementara bagi tujuan penjualan kepada pihak industri.

“Siasatan juga akan dilakukan terhadap pemilik stesen minyak berkenaan sama ada mereka terlibat atau bersubahat dalam kes ini,” katanya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan kesemua rampasan serta sitaan dianggarkan bernilai lebih RM60,000. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI