KULIM – Kejadian ribut bulan lalu mengakibatkan sebuah rumah di Kampung Bukit Banjir, Merbau Pulas di sini, yang didiami seorang warga emas rosak teruk terutamanya pada bahagian bumbung.
Keadaan itu menyebabkan Mohammad Nasirrudin Man, 50, terpaksa berpanas dan berhujan selain membahayakan keselamatannya apabila atap yang tercabut hanya ditutup dengan kanvas.
Anak saudara Mohammad Nasirrudin, Siti Salbiah Che Omar, 35, berkata, selepas kejadian malang itu, ada individu tampil menawarkan bantuan dan berjanji akan membaiki rumah berkenaan dalam tempoh dua hari.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
“Bapa saudara saya tidak bekerja dan belum berkahwin. Dia mempunyai masalah kesihatan selain suka menyendiri. Ibu saya yang menguruskan keperluannya setiap hari.
“Namun, ibu hanya mengambil upah mengurut, manakala bapa Che Omar Mat Isa, 62, tidak berkerja kerana baru sahaja pulih daripada strok tidak mampu membaiki rumah terbabit,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, setiap hari bapanya yang tinggal di Bukit Karangan akan menghantar makanan kepada bapa saudaranya.
“Kami ada ajak bapa saudara tinggal bersama, namun dia tidak mahu kerana lebih selesa tinggal bersendirian,” ujarnya.
Sementara itu, Che Omar berkata, kediaman dihuni Mohammad Nasirrudin terlalu uzur dan tiada bekalan air.
Katanya, kos untuk membaiki bumbung serta mengantikan kayu yang rosak dengan struktur besi lebih RM4,000.
“Jumlah itu amat besar bagi kami yang kurang berkemapuan, besar harapan ada pihak sudi memberi bantuan untuk membaiki rumah yang rosak akibat ribut tempoh hari.
“Walaupun adik ipar saya ini ada masalah kesihatan, namun kami ingin juga melihat dia tinggal di dalam rumah yang selesa tanpa ada masalah,” ujarnya.
Sementara itu orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Salbiah Che Omar di talian 017-7021175 atau sumbangan boleh disalur melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0212329000124635 atas nama Suriati Man (kakak).