BATU PAHAT – Keadaan banjir di negeri ini dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua minggu atau sebulan bergantung kepada keadaan cuaca dan proses mengepam air bah keluar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor telah menempatkan pam air di beberapa lokasi di sekitar Batu Pahat sejak beberapa hari lalu.
“Ujian yang kita hadapi sejak 1 Mac lalu ialah air banjir tinggi dan kini air sedang mengalir keluar. Kita jangka dua minggu atau sebulan akan surut kerana keadaan air banjir termenung, jadi kita kena pam keluar (air).
“Sebanyak 21 pam lagi akan dibawa dari semua negeri ke Batu Pahat, tetapi (untuk memasang) pam air ini kita mesti melihat air sungai tidak melepasi paras tebing,” katanya selepas meninjau operasi pam air tambahan dipasang di Pintu Air Kuala Senggarang di sini.
Raven berkata, situasi banjir di Johor seperti di Segamat menunjukkan penurunan bilangan mangsa, namun di daerah Batu Pahat menyaksikan trend statik dan peningkatan susulan air banjir termenung serta air melimpah ke kawasan rendah.
Beliau berkata, beberapa lokasi di Johor yang sebelum ini banjir seperti di Segamat sudah memasuki fasa pasca banjir dan kerja pembersihan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan.
Sementara itu, Pengarah JPS Johor, Azren Khalil berkata, 46 pam bergerak dengan kapasiti pam lima hingga 20 cusec (kaki persegi sesaat) dipasang di tujuh daerah di negeri itu sejak beberapa hari lalu.
Beliau berkata, 14 pam dipasang di Tangkak, 12 di Batu Pahat, masing-masing enam di Johor Bahru dan Pontian, empat di Mersing, tiga di Muar dan satu di Kota Tinggi.