PETALING JAYA – Hujan lebat serta ribut petir dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di 10 negeri pada petang ini.
Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan-kawasan terlibat sehingga pukul 7 malam.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk tersebut dilihat tertumpu sekitar utara Semenanjung melibatkan negeri Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) serta Perak (Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
“Keadaan sama turut tertumpu sekitar Bera, Pahang (Bera) dan seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya petang ini.
“Bagi Negeri Sembilan pula melibatkan Kuala Pilah, Jempol dan Tampin serta beberapa kawasan di Johor seperti Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah MetMalaysia, hujan lebat serta ribut petir juga berisiko di Sarawak merangkumi kawasan Betong (Saratok), Sarikei dan Sibu (Sibu dan Kanowit). – KOSMO! ONLINE