MIAMI, Florida – Seorang bapa, Dayne Victor Miller ditahan polis kerana melepaskan tembakan setelah seorang penyewa lelaki berbogel di atas katil bilik tidur anak perempuannya di Florida, lapor portal berita Inside Edition semalam.
Menurut polis, kejadian berlaku selepas anak perempuannya menemui seorang lelaki yang menyewa sebuah bilik di rumah mereka tidak memakai sebarang pakaian tetapi berada di atas katilnya.
Bapa itu ditahan Rabu lalu selepas menghubungi talian kecemasan 911 dan menyatakan bahawa anak perempuannya yang masih remaja, memberitahunya bahawa dia mendapati lelaki yang menyewa bilik di rumah mereka berada dalam keadaan berbogel di atas katilnya, kata pihak berkuasa.
Bagaimanapun, isteri lelaki itu menyedari suaminya tidak berada di bilik tidur mereka dan menjerit bahawa dia berada di bilik yang salah, kata polis.
Lelaki itu dan isterinya memberitahu polis bahawa mereka minum arak bersama Miller dan selepas tidur, lelaki itu bangun untuk menggunakan bilik air dan kemudian tersilap masuk ke bilik anak perempuan lelaki berkenaan dan bukannya biliknya sendiri, kata pihak berkuasa tersebut.
Penyewa lelaki itu berkata, dia masuk semula ke dalam bilik yang dia dan isterinya sewa sebelum mengunci pintu namun Miller didakwa menjerit: “Saya akan bunuh kamu.”
Miller mengambil senjata api dan kemudian menembak ke lantai tiga atau empat kali dalam keadaan marah, demikian menurut polis. Dia didakwa dengan dua pertuduhan melakukan serangan dengan senjata maut serta menembak ke dalam kediaman yang didiami.
Bapa itu masih belum membuat pengakuan bersalah dan satu perbicaraan dijadualkan pada 10 April ini, manakala polis tidak menyatakan sama ada terdapat sebarang kecederaan dalam kes itu. Miller kini ditahan di Penjara Lee County. – Agensi