fbpx

Pemancing naikkan ‘raksasa’ air tawar 100 kilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ditch Ballard berjaya menangkap seekor ikan air tawar seberat 100.69kg sebelum melepaskannya semula di Sungai Ebro baru-baru ini. - Foto DitchBallard/BNPS

MADRID, Sepanyol – Seorang pemancing Britain menaikkan seekor ikan air tawar raksasa seberat 100.69 kilogram (kg) yang mengheret botnya sejauh hampir 1.6 kilometer selepas bertarung selama sejam dalam suhu sejuk di Sepanyol, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Ditch Ballard, 37, sedang memancing ikan kap di tebing Sungai Ebro apabila makhluk berukuran panjang 2.74 meter itu memakan umpan sekali gus dapat dipancingnya baru-baru ini.

Ikan air tawar spesies Catfish itu kemudian melompat ke dalam bot aluminiumnya sepanjang 3.65m dan Ballard mengerahkan seluruh kekuatan untuk mengalahkan hidupan tersebut dalam pertarungan terhebat sepanjang dia bergelar pemancing.

Ballard terpaksa berdepan dengan suhu sejuk ketika cuba menimbang serta mengukur ikan raksasa itu sebelum melepaskannya semula ke dalam air.

“Ia adalah pertarungan terbesar dalam kerjaya memancing saya,” katanya.

Berat ikan itu adalah kurang 11.79kg untuk rekod tangkapan ikan air tawar di Sungai Ebro.

Ballard yang berpindah dari Watford ke selatan Catalonia enam tahun lalu mengendalikan syarikat percutian memancing, Ebro Mad Cats.

Dia berkata: “Ketika suhu -3 darjah Celsius, kesejukan angin sebenarnya membuatkan saya berasa tidak tertanggung (untuk memancing).”

Ballard yang menggunakan pelet halibut termasuk jagung manis sebagai umpan, merakamkan gambar tangkapannya sebelum melepaskannya semula ke dalam sungai.

Rekod dunia untuk ikan air tawar Eropah terbesar yang pernah ditangkap ialah seberat 134.717kg pada 2010 oleh Attila Zsedely di Itali. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI