fbpx

Hampir 130,000 penduduk Tanduk Afrika kebuluran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG kanak-kanak kekurangan zat makanan dirawat di sebuah hospital di Mogadishu, Somalia pada 1 Jun 2022. -- AFP

GENEVA, Switzerland – Hampir 130,000 orang di rantau ‘Tanduk Besar Afrika’ berada di ambang kematian akibat krisis kelaparan yang melanda, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam amarannya.

WHO berkata, kira-kira 48 juta orang di rantau itu terdiri daripada Djibouti, Ethiopia, Kenya, Somalia, Sudan Selatan, Sudan dan Uganda, menghadapi krisis jaminan makanan.

Krisis jaminan makanan bermaksud isi rumah terpaksa mencatu makan dan menghabiskan simpanan dan aset untuk membeli makanan.

Daripada jumlah tersebut, enam juta orang menghadapi krisis jaminan makanan tahap kecemasan dan 129,000 berada pada perinkat paling buruk iaitu tahap malapetaka.

“Mereka mengalami kelaparan dan melihat kematian di hadapan mata,” kata pengurus serantau WHO, Liesbeth Aelbrecht.

Daripada sejumlah 129,000 tersebut, 96,000 orang berada di Somalia dan 33,000 lagi di Sudan Selatan, katanya kepada pemberita di Geneva melalui sidang video dari Nairobi.

“Kebanyakan kawasan di rantau ini sedang bergelut dengan kemarau paling buruk dalam tempoh sekurang-kurangnya 40 tahun, manakala kawasan-kawasan lain telah terjejas akibat banjir yang membawa kepada kebuluran meluas.

“Kami melihat lonjakan wabak penyakit, manakala bilangan kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan adalah tertinggi dalam tempoh beberapa tahun,” katanya.

Kira-kira 11.9 juta kanak-kanak berumur bawah lima tahun dipercayai menghadapi kekurangan zat makanan akut tahun ini.

Rantau itu juga berdepan ancaman wabak campak, taun, malaria, denggi, hepatitis E dan meningitis.

“Jumlah wabak penyakit yang dilaporkan di Tanduk Besar Afrika telah mencapai tahap tertinggi pada abad ini dengan sistem kesihatan di kebanyakan tujuh negara terbabit sukar untuk diatasi,” kata Aelbrecht. – AFP

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI