JOHOR BAHRU – Kumpulan muzik dari Indonesia, Radja Band membuat laporan polis kerana menerima ancaman bunuh tidak lama selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini malam semalam.
Difahamkan, insiden bermula ekoran berlaku salah faham antara pihak penganjur konsert dan juga band berkenaan sehingga menyebabkan dua lelaki melempar kata-kata kesat dan ancaman bunuh.
Vokalis kumpulan berkenaan, Ian Kasela memberitahu, pihaknya tidak dimaklumkan berhubung sesi ‘Meet And Greet’ antara band berkenaan dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang dirancangkan pihak penganjur.
“Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 11.15 malam, dimana kami telah dimaki dengan kata-kata kesat. Individu tersebut turut memberikan ugutan bunuh kepada kami sekiranya masih berada di dalam Malaysia.
“Kami rasa agak kecewa kerana telah melakukan yang terbaik untuk konsert dan peminat disini, malahan kami turut meluangkan masa untuk bergambar bersama peminat sewaktu konsert berlangsung.
“Apa yang membimbangkan adalah ada antara kami datang ke sini bersama ahli keluarga termasuk anak-anak kecil, jadi perkara itu merisaukan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Ian, sekiranya sebarang aktiviti tambahan dibincangkan terlebih dahulu antara penganjur dan pihaknya, mereka tidak mempunyai masalah untuk memberikan kerjasama terbaik.
Sementara itu, Ian turut memberitahu pihaknya dimaklumkan akan ada sesi bergambar bersama individu kenamaan bagaimanapun selepas mereka menunggu di bilik disediakan, tiada mana-mana pihak yang hadir.
“Sebaliknya terdapat dua individu yang mendakwa mereka wakil kepada penganjur bertindak agresif dan mencetuskan provokasi dengan menendang meja.
“Jika ikutkan rancangan asal, kami akan hadir semula ke Malaysia untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur selepas Ramadan, namun perkara yang berlaku ini telah menyebabkan kami berasa bimbang kerana menerima ancaman bunuh.
“Kami kecewa dengan pihak penganjur dan ancaman bunuh ini merupakan satu perkara yang serius,” katanya sambil memberitahu band tersebut telah membuat laporan polis di Balai Polis Larkin, hari ini.- KOSMO! ONLINE.