PETALING JAYA – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh masing-masing mengetuai Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO selepas memenangi pemilihan sayap parti itu, semalam.
Noraini yang berjaya menewaskan pencabar sengitnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menerusi kenyataan Facebook pagi ini, turut menzahirkan kesyukuran di atas kejayaan tersebut.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita UMNO di seluruh negara serta sahabat #SusahSenangBersama di atas sokongan dan kepercayaan kepada saya sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia.
“Ayuhlah, bersama kita meneruskan pemerkasaan wanita untuk ke tahap lebih tinggi menjadi realiti!,” ujarnya.
Keputusan tidak rasmi malam tadi menyaksikan Noraini meraih 106 undi daripada 189 bahagian yang terbabit dalam pemilihan di seluruh negara manakala Muhamad Akmal memperolehi 103 undi.
Sementara itu, keputusan tidak rasmi sehingga pukul 12.18 tengah malam tadi, menyaksikan Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mendahului jawatan Ketua Puteri dalam pemilihan sayap parti itu. – KOSMO! ONLINE