KLANG – Tiga individu termasuk pemandu lori bergaduh dipercayai selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pulau Indah, hari ini.
Insiden tersebut tular di Facebook menerusi dua buah video berdurasi 12 dan 36 saat memaparkan kemalangan dan pergaduhan tersebut.
Difahamkan susulan kemalangan tersebut turut menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana dua buah lori berkenaan menutup sepenuhnya dua lorong lebuh raya berkenaan.
Seorang pengguna Facebook,Muhammad Nabil Illias mendakwa kemalangan berkenaan berlaku disebabkan beberapa pemandu memandu laju bagi mengejar trip.
“Lebih banyak trip, lebih banyak insentif gaji yang mereka akan terima,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna dikenali Shah Sasuke pula laluan tersebut sering digunakan pemandu lori untuk menunjukkan siapa lebih hebat dalam pemanduan.
“Kawasan Port Klang ini, semua hendak tunjuk siapa yang hebat bawa lori. Macam sakai,” tegasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna aplikasi media, Zul Mohd. meminta pihak polis membuat pemeriksaan urin terhadap individu yang terlibat dalam pergaduhan berkenaan.
“Mungkin ada di antara mereka yang mengambil dadah dan ini salah satu sebab berlakunya kemalangan itu,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE