SIAPA sangka, individu yang memiliki karakter lemah lembut dan penuh sifat keayuan dalam diri, seorang yang berani mencuba perkara baharu dan bercita-cita menjadi pakar psikologi kanak-kanak.
Demikian sifat peribadi gadis Pesona Ahad, Amanda atau nama sebenarnya Amanda Emil Khairul Amry, 20, dari Shah Alam, Selangor dan kini menceburi kerjaya sebagai pelakon layar seni tanah air.
Gadis berwajah manis itu menolak sekeras-kerasnya keganasan membabitkan golongan wanita dan juga kanak-kanak.
Mengenali dengan lebih dekat empunya diri, penghijrahan daripada United Kingdom (UK) ke Malaysia pada 2011 banyak mengajarnya erti kehidupan dan mengenali pelbagai jenis perwatakan manusia di sekelilingnya.
Katanya, dia sentiasa ingin mencuba lebih banyak perkara dan memasang impian untuk berada di pentas antarabangsa.
Kosmo! Ahad: Ceritakan mengenai latar belakang anda?
Amanda: Tujuh tahun menetap di London, sejak kecil lagi saya merupakan seorang yang mesra di hadapan kamera dan suka berangan-angan. Seawal usia lima tahun, saya sudah menjadi model pakaian komersial sewaktu menetap di UK sebelum kembali ke Malaysia pada 2011.
Perbezaan tinggal di UK dan Malaysia?
Setiap tempat ada kelebihan masing-masing seperti di UK, cara mengenali seseorang, berkomunikasi, budaya, suasananya sangat berbeza.
Cabaran yang paling diingati?
Pada awal berpindah ke Malaysia agak susah untuk bertutur dalam Bahasa Melayu. Saya faham apa yang diperkatakan seseorang, tetapi untuk membalas balik agak perlahan sebab takut salah apa yang dituturkan. Dengan bantuan kawan dan keluarga, dalam masa sekejap, saya boleh menguasainya.
Mengapa pilih lakonan sebagai kerjaya?
Saya sebenarnya lebih cenderung ingin menjadi pakar psikologi kanak-kanak. Tetapi kerana minat berlakon, saya menerokainya sedikit demi sedikit dan kini masaih dalam proses belajar. Ia satu cabaran yang besar dalam hidup saya setakat ini.
Masih belajar lagi sekarang?
Saya akan menyambung pelajaran bagi ijazah sarjana muda di International University of Malaya-Wales dalam bidang psikologi. Saya ambil bidang ini sebab sangat teruja apabila berdepan dengan kanak-kanak. Saya kini mendisiplinkan diri untuk menguruskan masa antara belajar dan dunia lakonan.
Bagaimana layanan diterima di set lakonan?
Di set penggambaran, saya selalu dipanggil ‘adik’ dan semua yang bersama saya akan saya hormat seperti abang dan kakak. Bergurau itu biasalah kita pun kadang-kadang ‘kacau’ mereka juga.
Fakta menarik tentang Amanda?
Walaupun saya ada seorang abang dan adik lelaki, tetapi saya paling berani berbanding mereka. Sebagai contoh, adik pernah terjumpa labah-labah dan orang pertama dia minta tolong mengalihkannya adalah saya. Saya juga seorang yang penuh rasa ingin tahu mengenai sesuatu perkara.
Impian yang dihajati?
Impian saya untuk melebarkan karier seni hingga ke peringkat antarabangsa.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Saya lebih tertarik kepada lelaki yang beragama, pandai dan bonus kalau ‘sedap mata memandang’. Paling penting, dia mesti penyokong kelab bola sepak Manchester United. Bagaimanapun terlalu awal untuk saya memikirkan soal pasangan kerana masih banyak perkara perlu dilakukan.
Pandangan Amanda tentang berkawan?
Syukur setakat ini dikelilingi dengan rakan-rakan yang baik dan sentiasa ada bersama. Berkawan biarlah ramai, tetapi yang betul-betul rapat itu biarlah beberapa orang sahaja. -KOSMO! ONLINE