fbpx

Suspek utama bunuh koperal pencen didakwa, rakan dituduh bersubahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fong Kim (kanan) dan Saharudin (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas pertuduhan membunuh dan subahat. - Foto oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT

KLUANG – Seorang pekerja kedai tayar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pesara polis dan menanam mayat mangsa di dalam kebun kelapa sawit di Kahang, dua bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lim Fong Kim, 37, selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Naval Dass.

Mengikut kertas pertuduhan, Fong Kim didakwa membunuh Su Kim Chiang, 57, dengan menggunakan sebatang alat komponen motosikal (fork motosikal).

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah premis, Batu 22, Jalan Ikan Merah 5, Kahang Dalam, di sini antara pukul 8.10 hingga 9 malam, 31 Ogos 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati.

Di mahkamah sama, rakannya, Saharudin A. Samad, 42, yang bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit dituduh bersubahat membantu Fong Kim menghapus bukti dengan menanam mayat mangsa.

Saharudin bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 24 Kanun Keseksaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 26, Jalan Mersing di sini antara pukul 8.10 malam 31 Ogos 2020 hingga 1.30 pagi 1 September 2020.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zahida Muhammad Ruzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 26 November ini sebagai sebutan semula kes.

Kosmo! pada 19 Oktober lalu melaporkan dua lelaki ditahan selepas disyaki membunuh Su Kim Chiang, 57, sebelum mayatnya ditemui ditanam di dalam sebuah kubur di kebun kelapa sawit Batu 26, Jalan Mersing, Kahang di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI