HONG KONG – Sebuah pasar mini di Hong Kong menampal notis pemberitahuan yang memaklumkan bahawa pelancong perlu membayar sekiranya ingin bertanya soalan, lapor portal berita Wolipop.
Pasar mini SuperOne sebelum ini merupakan kaunter tiket bas rentas sempadan antara Hong Kong dan Macau yang dikelola oleh Syarikat Eternal East Bus.
Bagaimanapun, sejak bandar raya itu membuka sempadan dan menerima kedatangan pelancong, pekerja kedai itu didakwa menjadi lebih letih kerana perlu menjawab pelbagai pertanyaan daripada pelancong.
“Terdapat kira-kira 20-30 orang bertanyakan arah, kebanyakan mereka bertanya lokasi terminal bas rentas sempadan,” kata Yuki yang merupakan pengurus kedai tersebut.
Kekecewaan pengendali kedai itu akhirnya memuncak apabila pelancong bersikap kasar dan tidak berterima kasih kepada pekerja. Disebabkan itu, mereka meletakkan papan tanda bertulis: ‘Bayaran HK$10 (RM5) untuk setiap soalan mengenai arah’.
Notis itu juga memberitahu bahawa pekerja kedai tidak diwajibkan bersikap baik kepada pelancong.
Gambar papan tanda itu tular pada Jumaat lalu tetapi dua hari kemudian, notis itu telah ditarik balik setelah pengurus kedai itu mendapat aduan daripada orang ramai.
“Kami cuma mahu orang ramai berhenti bertanya soalan kerana kadangkala ia menjejaskan tugas harian kami,” kata Yuki.
Walaupun sudah beberapa hari notis ditampal, Yuki mengaku dia tidak pernah mengutip walau sesen pun wang daripada mereka yang bertanya. – Agensi