KUALA TERENGGANU – Lebih 10 tahun dahulu, cicak tokek pernah menjadi buruan sehingga harganya melonjak kepada jutaan ringgit seekor gara-gara dakwaan kononnya mampu mengubati penyakit AIDS.
Kegilaan itu terhenti beberapa tahun lalu selepas dakwaan mengenai khasiat haiwan tersebut disahkan palsu oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Begitupun, cicak tokek atau nama saintifiknya gekko gecko kini dikeringkan dan dijadikan pula snek makanan.
Produk makanan berasal dari Indonesia berkenaan mula dipromosi di pasaran negara ini secara dalam talian dan dijual menerusi platform-platform e-dagang baru-baru ini.
Daging cicak tokek goreng yang berharga kira-kira RM38 sebungkus itu digambarkan bukan sahaja lazat malah didakwa berkhasiat.
Berdasarkan keterangan produk, peniaga terbabit mendakwa amalan memakan cicak tokek mampu mengubati penyakit seperti asma, diabetes, kanser dan kulit serta bersifat antitumor.
Seorang ibu, Nur Farahdiba Mansor, 35, berkata, dia serba-salah apabila anak kecilnya berusia lapan tahun terliur mahu merasai cicak tokek goreng berkenaan.
“Anak saya ternampak iklan memaparkan seorang kanak-kanak perempuan sebayanya berselera menikmati cicak tokek goreng bersama nasi.
“Sudah pasti saya tidak sanggup memberi makan haiwan itu kepada keluarga. Jenuh saya menerangkan kepada anak ia tidak boleh dimakan dan haram di sisi agama,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Abdul Raof Mamat, 47, pula berkata, produk cicak tokek kering dari Indonesia tersebut menggunakan jenama mesra Muslim.
Sehubungan itu, dia bimbang ramai pengguna Islam tempatan terutama generasi muda boleh terkeliru membelinya.
“Kita sedia maklum, biasanya orang muda gemar mencuba menu makanan baharu apatah lagi yang tular.
“Begitupun setahu saya, terdapat fatwa yang mengharamkan pemakanan cicak tokek walaupun untuk perubatan,” katanya.
Abdul Raof berkata, dia juga difahamkan pengambilan cicak tokek yang hanya terdapat di Asia Tenggara dan timur laut India serta Bangladesh boleh menjejaskan kesihatan kerana beracun. -KOSMO! ONLINE